20 Mei 2025, Selasa – Murid-murid dari Tahun 1 hingga 6 Sekolah Kebangsaan Padang Kala telah menyertai Taklimat Kempen Internet Selamat (KIS), Perkhidmatan Pintar NADI dan Cakna Delima yang mana program ini dianjurkan dengan kerjasama empat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), iaitu NADI Kampung Padang Kala, NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh, NADI Kampung Kedai Buloh dan NADI Salor.
Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada murid-murid mengenai peranan NADI serta pelbagai perkhidmatan pintar yang ditawarkan untuk komuniti setempat, termasuk dalam kalangan pelajar dan guru. Selain itu, taklimat ini turut menekankan kepentingan keselamatan siber melalui pengisian Kempen Internet Selamat (KIS), yang bertujuan membina kesedaran tentang ancaman media sosial dan amalan melayari internet secara selamat. KIS ini menekankan 3 bentuk pelajaran iaitu yang pertama sebab had umur penggunaan media sosial bermula daripada 13 Tahun, yang kedua kesan negatif media sosial dan pelajaran ketiga langkah perlindungan dan alternatif yang lebih selamat berbanding media sosial.
Dalam masa yang sama, murid-murid juga diperkenalkan dengan platform DELIMa (Digital Educational Learning Initiative Malaysia), sebuah inisiatif digital oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyediakan pelbagai sumber pembelajaran bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian di sekolah rendah dan menengah seluruh negara. Sebagai nilai tambah, program ini juga menyediakan saringan kesihatan percuma kepada para guru sebagai usaha meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan.

