18 Mei 2025, Ahad – Program Outreach Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) anjuran KWSP Kota Bharu telah berjaya dianjurkan pada 18 Mei 2025 (Ahad) bertempat di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Salor, Kota Bharu. Program ini berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 3.00 petang dan terbuka kepada seluruh warga Salor serta kawasan sekitarnya. Sambutan yang diterima amat menggalakkan, membuktikan keperluan perkhidmatan KWSP secara terus kepada komuniti setempat.
Melalui program ini, masyarakat berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan KWSP tanpa perlu ke pejabat cawangan. Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk semakan penyata, pengaktifan i-Akaun, pendaftaran i-Saraan, i-Suri dan Shariah, caruman sukarela, penamaan, i-Sayang, i-Invest, semakan khairat kematian serta perkhidmatan lain yang berkaitan. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan urusan ahli, malah memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan maklumat dan nasihat secara terus daripada pegawai KWSP.
Pihak NADI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan semua pihak yang telah menjayakan program ini. Inisiatif Outreach ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan kempen “Simpan Baik-Baik”, yang menekankan kepentingan simpanan persaraan demi masa depan yang lebih terjamin. Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan ke lokasi-lokasi lain untuk manfaat bersama.


